![]() |
|
IPOH 7 Julai – Sebanyak 39 pasang pengantin baru mengambil kesempatan daripada tarikh 7 Julai 2007 atau 07-07-07 yang dianggap bertuah untuk melangsungkan perkahwinan beramai-ramai di Dewan Chin Woo di sini, hari ini.
Jumlah itu mengatasi rekod 28 pasang pengantin yang melangsungkan perkahwinan di dewan sama sempena sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari lepas.
Penolong Pendaftar Perkahwinan, Datuk Ooi Foh Sing yang menyempurnakan majlis itu berkata, walaupun nombor 07-07-07 tidak mempunyai sebarang makna bagi masyarakat Cina, tarikh tersebut dianggap baik kerana hanya berlaku seratus tahun sekali.
“Mungkin mereka ingin mengikut masyarakat barat yang menganggap nombor tujuh sebagai bertuah,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pasangan yang mendaftar perkahwinan dengan Persatuan Sukan Chin Woo juga diberikan kupon diskaun penginapan di Hotel Ritz Garden dan kupon makan malam percuma di Japanese Rummy.
“Selain itu, syarikat foto Super Star juga mengambil gambar perkahwinan secara percuma,” katanya.
Menurut beliau, pada asalnya, sebanyak 41 pasangan mendaftar untuk berkahwin pada hari ini tetapi dua lagi pasangan dinasihatkan tidak berbuat demikian kerana nombor empat dianggap tidak baik bagi masyarakat Cina.
“Kita daftar 39 pasang pengantin sahaja kerana nombor 39 membawa makna hidup berkekalan bagi masyarakat Cina,” katanya.
Sementara itu, pasangan Tan Kin Min, 30, dan Lee Sau Ching, 26, berkata, mereka memilih tarikh itu kerana sukakan nombor tujuh.
“Saya sangat sukakan nombor 77 sebab saya dilahirkan pada tahun 1977 dan nombor telefon saya juga menggunakan nombor 77,” kata Kin Min.
Pasangan Woo Chee Tian, 28, dan Voon Yoke Fong, 28, pula memberitahu, mereka sengaja memilih tarikh itu kerana mudah diingat.
“Isteri saya yang pilih tarikh ini kerana dia sukakan idea berkahwin secara ramai-ramai supaya menjadi kenangan yang sukar dilupakan sepanjang hidup,” kata Chee Tian.