Advertise here

siapa paling banyak bercakap??

Posted by princecrackerModernist | 10:58 AM | , ,

Oleh Salina Abdullah & Fairuz Zaidan


Kajian terbaru menunjukkan tabiat wanita dan lelaki sama saja

BUKAN lagi sesuatu yang baru jika ada yang berkata, perempuan lebih banyak bercakap daripada lelaki dan pastinya, kebanyakan yang berkata begitu adalah lelaki.

Bukan saja perempuan dikatakan kuat dan suka bercakap, malah dilabel sebagai `bising’, pembebel dan peleter. Anda bagaimana? Setuju dengan pandangan ini? Kalau anda lelaki, pasti anda setuju.

Kata-kata ini dulunya hanya sekadar omong kosong atau bersifat serangan peribadi terhadap jantina bertentangan, tidak disokong oleh sebarang kajian secara saintifik. Kini, kajian demi kajian dijalankan dan keputusannya, pelbagai.

Kajian oleh pensyarah Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Sabitha Marican, yang dijalankan sejak 1998 hingga 2006 mendapati wanita Malaysia lebih banyak bercakap berbanding lelaki. Malah, wanita juga didapati lebih mahir berhujah berbanding lelaki.

Kajian itu mendapati wanita di negara ini banyak bercakap untuk menasihati, menegur dan membelai.

Hasil kajian ini selaras dengan satu kajian oleh pakar psikiatri dari University of California, Amerika Syarikat, Dr Luan Brizendine. Kajiannya menyebut wanita Amerika Syarikat bercakap kira-kira 20,000 perkataan sehari berbanding hanya 7,00 perkataan oleh lelaki. Susah hendak percaya bukan?

Tambahnya, wanita juga bercakap lebih cepat daripada lelaki dan membahagikan lebih banyak tenaga otak untuk berborak. Wanita `seronok’ mendengar suara sendiri, katanya.


Katanya, percakapan mudah juga sudah cukup untuk merangsang bahan kimia dalam otak yang memberikan `keseronokan’ kepada wanita seperti yang dialami penagih dadah apabila khayal.

Sebabnya? Semua ini, kata Dr Brizendine, adalah disebabkan perbezaan otak lelaki dan wanita. Hormon testosterone pada lelaki menjadikan otak lelaki `kurang berfungsi’ untuk komunikasi, emosi dan memori menjadikan lelaki kurang bercakap dan sukar meluahkan perasaan serta emosi berbanding wanita.

Malah, hormon berkenaan, kata Dr Brizendine yang mengendalikan klinik mood dan hormon di San Francisco, Amerika Syarikat mengurangkan saiz bahagian otak yang membabitkan pendengaran menyebabkan lelaki `pekak’ - sukar memahami dan menerima - apa yang diperkatakan isteri atau teman wanita.

Namun, satu kajian terbaru yang diterbitkan bulan ini mendapati wanita dan lelaki sama `hebat’ bila tiba bab bercakap.

Kajian oleh Pengerusi Jabatan Psikologi University of Texas, James Pennebaker membabitkan 400 penuntut universiti di Amerika Syarikat dan Mexico itu mendapati penuntut lelaki bercakap purata 15,669 perkataan sehari, hampir menyamai penuntut perempuan yang bercakap kira-kira 16,215 perkataan sehari.

Katanya, tidak kira lelaki atau wanita, kedua-duanya suka bercakap.

“Orang sering beranggapan wanita lebih banyak bercakap mungkin kerana mereka hanya mengambil kira situasi ketika berlaku konflik dalam hubungan intim lelaki dan perempuan.

“Banyak kajian menunjukkan lelaki lebih suka berdiam diri ketika bertengkar dengan pasangan berbanding wanita yang lebih suka meluahkan pandangan serta perasaan mereka,” kata Pennebaker.

Namun, katanya, lelaki menjadi sama `hebat’ bercakap seperti wanita dalam pelbagai topik lain.

Profesor psikologi di Yale University, Marianne LaFrance, berkata kedua-dua wanita dan lelaki banyak bercakap cuma yang membezakan mereka adalah topik yang diperkatakan. Jika ramai beranggapan wanita suka bergosip, hakikatnya, lelaki juga begitu, kata LaFrance.

Satu lagi penemuan menarik. Dr Brizendine berkata, `kelemahan’ lelaki dalam bab bercakap dan emosi membuatkan mereka lebih `gagah’ apabila berbicara mengenai seks! Tahukah anda, `alat pemprosesan seks’ pada otak lelaki - bahagian yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan seks - dua kali ganda lebih besar berbanding wanita.

Kata Dr Brizendine, kajiannya yang membabitkan 1,000 responden mendapati lelaki berfikir mengenai seks setiap 52 saat manakala wanita hanya memikirkannya sekali dalam sehari.

Secara mudahnya, lelaki mempunyai `lapangan terbang antarabangsa’ apabila berfikir mengenai seks manakala wanita hanya mempunyai kawasan kecil yang hanya boleh mengendalikan pesawat peribadi.

Apa pendapat anda? Anda banyak bercakap?

Kajian i-Kon dapati lelaki kaki gosip

Kajian rambang i-Kon membabitkan 60 responden - 30 lelaki dan 30 wanita - mendapati 33 responden (55 peratus) berpendapat wanita lebih banyak bercakap daripada lelaki; 19 responden (31.7 peratus) berpendapat lelaki lebih banyak bercakap manakala selebihnya lapan responden (13.3 peratus) berpendapat kedua-dua lelaki dan wanita banyak bercakap.

Majoriti responden lelaki, 24 orang (80 peratus) berkata wanita lebih banyak bercakap; corak yang sama apabila majoriti responden wanita, 16 orang (53.3 peratus) berpendapat sebaliknya - lelaki lebih banyak bercakap.

Semua responden wanita terbabit berkata, lelaki zaman sekarang lebih banyak `membebel’ dan suka bercakap dalam apa juga topik, termasuk gosip.

Apa mereka kata?

  • “Perempuan memang banyak bercakap berbanding lelaki disebabkan faktor emosi. Perempuan bercakap mengikut emosi, berbanding lelaki menggunakan akal sehingga ramai menganggap wanita pembebel.

    Lelaki banyak mengawal tutur kata dan hanya berkata sesuatu yang benar-benar penting dan perlu, tetapi perempuan pula terlalu inginkan penjelasan satu persatu.

    Walaupun lelaki mungkin nampak pendiam tetapi bila berfikir mereka paling cepat. Saya sendiri mengamalkan cara lelaki bercakap dengan menggunakan akal, tanpa meletakkan emosi menguasai diri. Wanita tidak harus menjadikan faktor emosi sebagai senjata yang membolehkan lelaki membuat sesuka hati hingga menindas wanita.”

    Hanita Izam Abdul Rahman, 38,
    Eksekutif Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)


  • “Memang lumrah wanita banyak bercakap. Terpulang kepada lelaki jika sukakan wanita yang suka berkata-kata. Saya sendiri, saya suka wanita yang mempunyai cerita kalau bersembang (tidak suka yang berbual kosong). Saya bosan dan rimas kalau perempuan terlalu banyak cakap.

    Saya juga banyak bercakap tetapi mengikut waktu. Isteri saya juga suka bercakap tetapi faham waktu yang sesuai untuk berbincang dan bersembang. Selalunya, kami berinteraksi sebelum waktu tidur.

    Zeddy Zuherry Abdul Rahim, 29,
    Eksekutif Swasta

  • “Memang wanita yang lebih banyak bercakap berbanding lelaki, termasuk mengenai perkara yang tidak penting. Lelaki banyak bercakap juga tetapi hanya apabila perlu.

    Sebagai DJ radio, menjadi tuntutan untuk saya banyak bercakap, itupun berpada-pada. Saya tidak mahu orang kata Faizal ini kuat membebel, tak sesuai dengan ciri seorang lelaki. Jika bandingkan saya dengan regu di radio, Farah Fauzana, memang dialah yang lagi banyak bercakap malah jika tidak ke udara pun dia memang banyak bercakap.

    Tetapi apabila habis waktu kerja, saya sebenarnya kurang bercakap, namun tidak bermakna saya sombong. Saya suka senyum. Sudahlah tak banyak cakap, kalau mahal senyuman nanti orang ingat saya sombong pula.”

    Faizal Ismail, DJ Hot FM

  • “Hakikatnya, lelaki wanita, kedua-duanya banyak bercakap tetapi masing-masing bergantung pada situasi. Ada masanya, lelaki yang lebih banyak bercakap dan ada kalanya, wanita pula.

    Saya sendiri bergantung pada situasi. Jika saya selesa dengan sesuatu situasi seperti di konti, bersama Faizal Ismail, saya memang banyak bercakap. Saya lagi banyak bercakap daripada Faizal.

    Tetapi, kalau situasi itu asing atau baru bagi saya, saya kurang kenal orang di sekeliling, saya akan kurang bercakap.”

    Farah Fauzana, DJ Hot FM


  • Contact Modernity

    Your Name :
    Your Email :
    Subject :
    Message :
    Image (case-sensitive):

    Nuffnang