MENGENDONG bayinya Kyrsten dengan perasaan penuh kasih sayang, Christianne Ray, sama seperti ibu lain yang baru melahirkan anak pertama, takjub dengan keajaiban kelahiran bayinya.
Bagaimanapun, kehadiran Kyrsten ke dunia ini benar-benar menjadi peristiwa menakjubkan.
Pada usia seminggu saja, dia sudah hampir separuh ketinggian ibunya.
Christianne, 19, yang hanya mempunyai ketinggian 79 sentimeter, dipercayai menjadi ibu paling kerdil di dunia.
“Saya tak percaya betapa besarnya anak saya. Ketika mengandungkannya, saya berasakan diri saya seperti labu,” katanya gembira.
Dilahirkan menerusi pembedahan selepas 34 minggu di dalam perut ibunya, kelahiran Kyrsten disaksikan oleh bapanya, Jeremy Bowden, yang mempunyai ketinggian 193 sentimeter, jauh lebih tinggi berbanding isterinya.
Jeremy, juga 19, sangat bangga dengan Christianne.
Walaupun pasangan itu terlalu gembira saat ini, namun kehidupan yang mereka lalui sebelum ini sungguh mencabar.
Apabila Christianne disahkan hamil, doktor meramalkan bayi yang dikandungnya akan menghimpit paru-parunya hingga menyebabkan ibu dan anak mati.
Terlintas di hati Christianne untuk menggugurkan saja kandungannya ketika itu.
“Seorang doktor memberitahu, saya pasti mati jika cuba melahirkan anak. Begitu juga nasib anak saya,” katanya, mengenang kembali saat awal kehamilannya.
“Namun, sebaik melihat hasil pengesan ultrasonik pertama kandungan saya, saya mengambil keputusan untuk melahirkannya.
“Kini, tidak sia-sia saya menggadai nyawa. Segala hasilnya menggembirakan. Tidak dapat saya gambarkan kegembiraan saya dengan adanya anak sendiri untuk saya pelihara,” katanya.
Sepanjang kehamilan Christianne, berat badannya naik 15 kilogram. Mujur, perutnya membesar ke depan, tidak ke atas, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap paru-parunya.
Lebih mengagumkan, Christianne yang begitu kerdil cepat menyesuaikan diri menghadapi perubahan yang berlaku.
Selain menghadapi masalah pedih hulu hati, perubahan perasaan dan selera untuk makan keju makaroni, Christianne sentiasa riang sepanjang mengandung — sesuatu yang sangat dia harap berlaku pada dirinya.
Doktor juga terkejut dengan kemajuan yang berlaku pada diri Kyrsten yang banyak menghabiskan masa di unit rawatan rapi selepas kelahirannya.
“Segala-galanya berjalan lancar dan menakjubkan. Saya kini miliki anak yang comel dan suami yang sangat saya sayang.
“Impian untuk berumah tangga dan memiliki anak menjadi impian setiap wanita. Segala impian saya menjadi kenyataan,” katanya.
Christianne dan Jeremy berkenalan ketika belajar bersama di sebuah sekolah pada 2000.
Mereka bagaimanapun mula bercinta 18 bulan lalu dan tidak dapat menggambarkan perasaan masing-masing jika seorang daripada mereka tiada di sisi.
Nyata, saiz Christianne bukan menjadi penghalang bagi Jeremy yang berkata, dia tertawan dengan pendirian positif Christianne terhadap kehidupan.
“Yang paling menarik perhatian saya hingga menyebabkan saya jatuh cinta padanya ialah sikapnya. Dia sentiasa berjenaka dan membuat saya ketawa.
“Kami ada banyak persamaan dan suka berjalan bersama. Dia mempunyai keperibadian tinggi. Ketinggiannya tidak pernah menjadi isu,” kata Jeremy.
Dalam pada itu, Christianne mengaku dia tertarik dengan lelaki tinggi.
“Sebelum Jeremy, teman lelaki saya juga setinggi 193 sentimeter. Hubungan kami terputus beberapa bulan sebelum saya dan Jeremy bercinta,” katanya.
Christianne yang mempunyai abang berusia 25 tahun dengan ketinggian normal, menghadapi masalah dengan sendi tangan dan kakinya. Dia sukar berjalan jauh dan sering menggunakan kerusi roda.
Dia juga menghidap masalah tulang belakang yang teruk. Ketika berusia 13 tahun, batang besi dimasukkan untuk meluruskan tulang belakangnya.
Namun, walaupun menghadapi masalah kesihatan, dia menikmati zaman kanak-kanak yang menyeronokkan.
“Saya sungguh popular di sekolah. Orang yang akan memberi layanan berbeza kepada saya adalah orang dewasa. Yang lain dapat menerima saya seadanya.
”Saya tidak menafikan ada masanya saya menghadapi masalah yang rumit. Namun saya tidak membenarkannya menguasai diri saya.
“Saya tidak pernah putus asa terhadap diri saya. Saya percaya saya ada personaliti tersendiri,” katanya.
Sementara itu, pasangan muda itu menaruh harapan tinggi supaya Kyrsten membesar hingga dewasa secara normal. Namun doktor tidak dapat meramalkan masa depannya.
“Dia sungguh comel. Dia sempurna. Dia pasti tahu kami ibu dan ayahnya. Sungguh menggembirakan dapat mengendong dan merenung matanya. Saya tidak pernah rasa gembira seperti ini,” katanya.