Advertise here

Polis siasat motif dendam

Posted by princecrackerModernist | 11:56 AM | , ,


MOHON DOA: Orang ramai melawat pusara mangsa pembunuhan kejam, Nurin Jazlin di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, semalam.

Suspek mungkin mahu mayat ditemui supaya ibu bapa Nurin Jazlin derita, tertekan

KUALA LUMPUR: Jenazah Nurin Jazlin Jazimin, 8, selamat dikebumikan Jumaat lalu, namun persoalan mengenai motif mangsa disimpan hampir sebulan sebelum dibunuh serta mayatnya ditinggalkan di tempat yang mudah ditemui, masih belum terjawab.

Sehingga kini, polis dikatakan sedang mengkaji beberapa faktor yang berkemungkinan menjadi motif pembunuhan kejam itu, antaranya dendam terhadap keluarga mangsa.

Menurut sumber, berdasarkan keadaan mayat Nurin Jazlin yang teruk diseksa secara seksual serta mengambil kira lokasi mangsa ditinggalkan, suspek mungkin berdendam terhadap ibu bapa kanak-kanak itu.


"Mangsa diseksa secara seksual dengan dahsyat dan ngeri. Ia mungkin bertujuan membuatkan ibu bapa mangsa berasa sangat sedih dan marah," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Mayat Nurin Jazlin, pelajar Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, yang disumbat dalam beg pakaian, ditemui ditinggalkan di sebuah premis syarikat penerbitan di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini, Isnin lalu.

Mangsa yang dilaporkan hilang selepas keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju, kira-kira jam 8 malam, 20 Ogos lalu, disahkan mati akibat jangkitan pada usus perut selepas kemaluannya ditusuk dengan terung dan timun.


Mengenai tindakan suspek menyumbat mayat mangsa ke dalam beg dan ditinggalkan di tempat awam, beliau berkata, suspek mungkin memang mahu mayat itu segera ditemui dan mendapat liputan meluas supaya ibu bapa Nurin lebih menderita dan tertekan.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan Nurin menjadi mangsa keadaan. Suspek mungkin menghadapi masalah mental yang kronik dan tidak berpuas hati terhadap keadaan sekelilingnya.

"Suspek marah dan berdendam dengan semua yang berada di sekelilingnya. Namun dia takut untuk meluahkannya kepada orang dewasa," katanya.

Ditanya sama ada suspek mahu mencabar polis dengan meninggalkan beg mengandungi mayat mangsa di tempat terbuka, beliau menolak kemungkinan itu tetapi berkata:

"Suspek akan meninggalkan lebih banyak kesan yang akan membawa siasatan ke tahap lain. Dalam kes ini, petunjuk yang ditinggalkan adalah secara tidak sengaja."

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar, ketika dihubungi enggan mengulas motif dan perkembangan siasatan kes itu.

"Polis masih menyiasat dengan serius kes ini dan kita tidak mahu terjadi apa-apa perkara yang akan mengganggu siasatan," katanya sambil meminta semua pihak bersabar dan bekerjasama dengan polis.

Dalam pada itu, sumber memberitahu Berita Harian, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan imej seorang wanita berada berdekatan tempat beg berkenaan diletakkan, akan dihantar kepada pakar luar negara untuk dipertingkatkan kualitinya.

Contact Modernity

Your Name :
Your Email :
Subject :
Message :
Image (case-sensitive):

Nuffnang