Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Erra (Fazira) bohong jika dia mengatakan kami tak pernah bercinta selama ini,” demikian kata Hans Isaac ketika mengulas beberapa kenyataan Erra yang mendakwa mereka tidak pernah berkasih lebih setahun lalu.
Kata Hans, hakikatnya hubungan cinta dia dan Erra sudah terjalin lebih setahun sebelum terputus tiga minggu lalu.
“Tetapi tiada siapa yang tahu kerana Erra minta saya merahsiakannya dan dia beritahu saya jangan bimbang kerana dia tahu macam mana hendak mengendalikan media.
“Oleh kerana saya terlalu menyayanginya, saya turuti saja katanya. Saya minta maaf kerana tak dapat beritahu mengenai percintaan kami selama ini kerana saya terpaksa menurut kehendak teman wanita saya ketika itu, Erra.
“Saya patuhi kemahuannya dan saya sanggup lakukan segala-galanya untuk orang tersayang. Sekarang dengan apa yang berlaku saya tidak mahu tahu lagi fasal Erra dan biarlah saya menjalani hidup saya sendiri dan tumpukan pada kerja,” katanya.
Erra dalam beberapa akhbar dilaporkan memberi kenyataan mengelirukan, berdolak-dalik dan enggan berterus-terang mengenai hubungannya dengan Hans.
Antaranya, dia mendakwa hanya sempat bercinta dengan Hans selama tiga bulan iaitu antara Disember 2006 hingga Februari lalu.
Dalam kenyataan lain pula, Erra beritahu hubungannya dengan Hans belum sampai ke peringkat saling cinta-mencintai, bahkan baru hendak mengenali hati budi masing-masing.
Hans berkata, pada malam kejadian di rumah Erra, pelakon itu mengaku bahawa Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, adalah pilihan ibunya.
“Memang dia yang cakap pada saya untuk menjadikan Emran suaminya. Tetapi sekarang dia nafikan mereka akan berkahwin. Mana satu yang betul. Apapun, saya dan dia tahu perkara sebenar.
“Saya tak tahu kenapa Erra sanggup berbohong pada semua orang. Memang saya susah hendak beritahu kepada orang ramai bahawa kami bercinta kerana selama ini kami tak pernah berterus-terang disebabkan itu kehendaknya.
“Kini siapa pun pilihannya, saya berharap Erra bahagia,” katanya.
Bagaimanapun, kata Hans, apa jua berlaku antara dia dengan Erra, dia tidak mahu mengenang serta mengungkit lagi hadiah yang pernah diberikan kepadanya.
“Mulai sekarang siapa pun pilihan hatinya, saya doakan kebahagiaan Erra,” katanya.
Menurutnya, kejadian di kediaman pelakon jelita itu yang membabitkan Erra, dia sendiri dan Emran adalah benar.
“Saya tetap akan pertahankan kenyataan saya kerana saya tidak mahu menipu sesiapa. Apa yang saya lakukan bukan hendak mempertahankan sesiapa tetapi demi mencari sebuah kebenaran.
“Dalam perkara ini hanya saya dan Erra tahu perkara sebenar. Saya juga tidak menghalang Erra untuk berkahwin dengan sesiapa. Kalau itu jodoh dia, saya doakan dia bahagia. Siapa saya untuk menghalang kebahagiaan orang lain,” katanya.
Mengambil iktibar daripada kejadian putus cinta dengan Erra, Hans berkata, dia mula kenal siapa kawan dan lawan.
“Kepada masyarakat di luar sana, saya berharap mereka memahami situasi saya dan apa yang berlaku bukan bertujuan mencari publisiti murahan. Ia juga bukan perkara yang membanggakan, malah memalukan saya.
“Saya terpaksa pertahankan hak dan pendirian saya untuk membersihkan semula nama saya dan keluarga yang terjejas, juga rakan karib saya yang tahu isu ini,” katanya.
Hans seterusnya mengatakan dia tidak pernah memilih atau merancang siapa bakal isterinya tetapi sekiranya selepas ini jodohnya masih terdiri daripada kalangan artis, dia tetap menerimanya.
“Tetapi rakan menasihati saya jangan bercinta dengan artis lagi. Tetapi bagi saya, apa yang terjadi biarlah ia menjadi pengajaran buat saya.
“Pada usia saya sekarang (36 tahun) saya mahu berkahwin dan ada anak. Siapa pun jodoh saya selepas ini saya terima dengan hati terbuka,” katanya.