Selamatkan diri anda dari dibelenggu oleh syaitan durjana...
Begitu pantas masa berlalu meninggalkan umat manusia dengan pelbagai ragam kehidupan mereka. Tahun 1421H kini meniti saat-saat terakhir sebelum berlabuh pergi meninggalkan kita bersama kenangan pahit dan indah selama kita berada di dalamnya. Bersama ini juga gamitan 1422H mula terbayang diruang mata yang bakal menjanjikan seribu pengharapan yang diidamkan. ***a keadaan diri kita mestilah dihitung terlebih dahulu sebelum kita menghitungkan orang lain.
Janganlah kita menjadi sebagaimana ketua Iblis iaitu Azazil yang merupakan guru para malaikat di mana ketika para malaikat mendengar firman Allah yang menyatakan adanya dikalangan mereka yang akan dihumbankan ke dalam neraka sebagai makhluk yang paling dilaknat oleh Allah lalu para malaikat meminta agar Azazil berdoa kepada Allah agar mereka tidak tergolong dalam golongan yang celaka itu. Azazil terus menadah tangan memohon kepada Allah agar diberi kesejahteraan kepada para malaikat sahaja tanpa berdoa untuk dirinya sendiri agar dihindarkan oleh Allah daripada menjadi mahkluk yang paling celaka. Akhirnya Allah menyelamatkan para malaikat sedangkan Azazil sendiri terus menjadi makhluk yang derhaka kepada Allah.
Ragam umat manusia di dunia ini bermacam-macam, begitulah juga dengan nasib mereka diakhirat nanti juga dengan pelbagai balasan mengikut amalan. Ramai yang ketawa didunia akan menjadi makhluk yang hina di akhirat dan tidak mampu ketawa lagi buat selamanya. Ramai mereka yang senang di dunia sehingga lupa kepada Allah maka di akhirat mereka dihina dan menjadi orang yang ditimpa kesusahan kerana diazab oleh Allah. Ramai mereka yang kenyang di dunia sehingga melupakan tanggungjawab kepada mereka yang susah menyebabkan mereka kesepian dengan kelaparan yang mencengkam di akhirat.
Ramai yang terlalu mengikut kehendak nafsu sehingga lupa kepada batas agama menyebabkan mereka terbiar dalam kesiksaan yang dahsyat di akhirat sana. Ramai yang kaya di dunia sehingga mereka bergelumang dengan rezeki yang haram menyebabkan mereka dibangkitkan dalam keadaan yang papa kedana dan menerima siksaan apai neraka. Oleh itu berpadalah dengan kehidupan dunia. Dunia yang kita kejar tidak akan ke mana dan akhirat yang kita lalai dan tinggal sudah pasti datang bersama kesesalan yang sudah tidak berguna. Jadikanlah dunia yang sementara ini sebagai jambatan bagi menuju Allah. Tingkatkan ilmu dan amal sehingga bertambahnya kecintaan kita kepada Allah yang membolehkan kita merasakan bahawa dunia ini tidak memberi apa-apa manfaat melainkan jika kita mengikuti segala batas agama.
Kawallah diri kita daripada dimasuki hasutan syaitan. Syaitan biasanya akan masuk apabila kita membuka 4 kunci yang ada pada diri kita. Yang pertama apabila terlalu marah maka syaitan akan masuk ke dalam diri kita sehingga kita tidak sedar bahawa diri kita telah pun melampaui batas agama. Kesan daripada kemarahan adalah penyesalan. Yang kedua apabila terlalu banyak ketawa yang menyebabkan diri kita mudah terheret kepada perkara yang melanggari kehendak syarak. Banyak ketawa di dunia menjadikan ilmu semakin terhakis dan kita akan banyak menangis kesesalan di akhirat nanti.
Ingatlah bahawa nabi sendiri apabila ketawa paling kuat pun hanya nampak gusi sahaja tanpa suara. Yang ketiga apabila terlalu takut kepada makhluk menyebabkan kita mudah dihasut dan melanggar batasan agama. Ingatlah bahawa jika kita takutkan Allah maka manusia akan menghormati kita tetapi jika kita tidak takut kepada Allah maka kita akan takut kepada makhlukNya. Yang keempat ialah apabila kuatnya nafsu sehingga sukar untuk mengawalnya terutama jika terlalu kenyang yang menyebabkan kita melupakan larangan agama. Ingatlah jika kita mampu menguasai nafsu maka kita akan mulia tetapi jika kita menjadi hamba kepada nafsu maka diri kita akan menjadi hina....Tepuklah dada tanyalah amalan dan iman kita.... "